FAKTA sebanyak 21 kes
pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang
seperti yang dikesan Kementerian Pelajaran baru-baru ini adalah sangat
mengejutkan dan memerlukan perhatian serta tindakan drastik semua pihak dalam
mencari jalan mengekang dan mengkaji di mana puncanya sehingga boleh berlaku
kes sedemikian.
Kes boleh dikategorikan sebagai perlakuan seks luar nikah atau perzinaan yang
dilarang agama dan berbahaya jika dilihat daripada aspek kesihatan seksualiti
sehingga boleh menyebabkan penyakit kelamin dan sebagainya. Oleh itu, semua
pihak hendaklah berganding bahu membendung aktiviti perzinaan ini daripada
berlaku di kalangan pelajar sekolah.
Aktiviti seks luar nikah
adalah perhubungan seksual tidak sihat, perlu dihalang daripada menjalar di
dalam masyarakat agar tidak menjadi budaya songsang di kalangan generasi muda
di negara ini.
Dilaporkan 12 daripada kes
serius ini berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar di
mana siasatan yang dilakukan kementerian menunjukkan bahawa 20 kes adalah
berdasarkan aktiviti seks suka sama suka antara pasangan manakala hanya satu
kes saja membabitkan rogol dan semua kes berkenaan berlaku di dalam kawasan
perumahan masing-masing.
Ini belum lagi termasuk kes
yang membabitkan pelajar sekolah ditangkap khalwat, masalah buang bayi, lari
rumah mengikut teman lelaki dan sebagainya yang perlu dikekang segera oleh
pihak yang bertanggungjawab.
Maklumat yang sangat
menakutkan ini berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Jabatan Pelajaran
Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan Jabatan Kebajikan
Masyrakat (JKM) yang mana agensi bertanggungjawab ini mempunyai akses serta
pengetahuan langsung berkenaan kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar
nikah di negara ini.
Oleh yang demikian, semua
pihak perlu bermusyawarah dan bekerjasama secara sistematik termasuklah ibu
bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang cukup berpengaruh
serta efektif dalam mencari alternatif terbaik serta formula paling mujarab
menangani masalah kritikal ini.
Dalam hal ini semua pihak
tidak boleh menyalahkan sesiapa pun atau menuding jari kepada pihak lain tetapi
sebaliknya berusaha merancang pelan tindakan bersepadu membendung isu kritikal
dan serius ini di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sama ada
membabitkan aspek keagamaan dan moral, aplikasi psikologi pendidikan yang
mantap dan pendidikan kesihatan yang konsisten agar masalah sosial ini dapat
dikekang dengan bijaksana.
Aspek perundangan juga
perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia membabitkan pelajar sekolah
bawah umur yang mana sudah tentu ada undang-undang tertentu mengawalnya.
Sehubungan itu, menurut
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sebagai usaha untuk
menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi
perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling (B&K) telah
menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki
dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan
kawan-kawan. Ini kerana kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana naluri
kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada
keluarga di samping rapuhnya pegangan serta didikan agama masing-masing.
Untuk itu, benteng agama di
kalangan pelajar hendaklah diperkukuh serta dimantapkan lagi agar mereka tidak
jauh tersasar dan menyeleweng daripada landasan agama.
Selain usaha pihak sekolah,
kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap prihatin
dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan
tingkah laku harian mereka.
Kementerian juga dengan
kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) telah merancang dan melaksanakan beberapa
program untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan mengenai seks dan
seterusnya mereka diminta berikrar secara bertulis agar menjaga kehormatan diri
sehingga ke malam pengantin (alam perkahwinan) setelah tamat program berkenaan.
Ini adalah pembaharuan
drastik di dalam penambahbaikan sistem akhlak dan moral pelajar negara yang
perlu dilaksanakan segera sebagai mekanisme menghalang aktiviti tidak sihat
daripada berleluasa di dalam sistem persekolahan menengah dan rendah di seluruh
negara.
Mengenai cadangan untuk
menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar mengandung luar nikah jika wujud
keperluan yang bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin
berleluasa dan bukan sebagai galakan kepada remaja untuk terjebak dengan
perbuatan hamil luar nikah dilihat tidak praktikal dan tidak sesuai untuk
dilaksanakan ketika ini.
Cadangan itu tidak akan
menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah, dikhuatiri akan menggalakkan
lebih ramai pelajar terbabit dalam perbuatan yang sumbang dan tidak bermoral
itu. Oleh yang demikian, kita perlu menutup mana-mana pintu saddu zarai’k
(menutup ruang maksiat) yang boleh menggalakkan perlakuan keji berkenaan di
kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah ke arah merealisasikan
impian gejala sosial sifar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan