PENDIDIKAN MORAL
Pendahuluan
Dalam penghidupan, seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan sehingga kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral. Mengikut Berk (1989), proses perkembangan moral melibatkan tiga komponen kendiri moral individu. Beliau menyenaraikan komponen-komponen tersebut sebagai penaakulan moral (moral reasoning), emosi moral (moral feelings) dan tingkah laku moral (moral behavior). Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berbeza tetapi saling berkait. Penaakulan moral dan emosi moral mempengaruhi tingkah laku moral individu. Dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting. Pendidikan Moral telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran formal dalam kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1983 kepada semua pelajar bukan Islam di darjah satu. Pelajar tingkatan satu mula belajar Pendidikan Moral pada tahun 1989. Pendidikan Moral juga mula bertaraf mata pelajaran peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 1993. Sudah 12 tahun Pendidikan Moral diajar di sekolah menengah. Apakah kesan Pendidikan Moral terhadap proses perkembangan moral pelajar ? Memandangkan kekangan masa dan ruang, kertas kerja ini hanya memilih untuk meninjau kesan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral terhadap perkembangan penaakulan moral pelajar sahaja.
Pengertian dan
kepentingan penaakulan moral (Moral Reasoning)
Penaakulan moral bermaksud proses seseorang individu mencapai keputusan tentang apa yang patut dilakukan dalam sesuatu dilema moral (Rest 1976). Kajian ini menggunakan definisi yang diutarakan oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992). Mereka telah mendefinisikan penaakulan moral sebagai sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh individu untuk menghasilkan sesuatu keputusan moral. Mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988 ), penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral. Pengetahuan Moral yang diuji di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia untuk pelajar tingkatan 5 juga adalah berasaskan penilaian penaakulan moral (Jeevajothi 1997).
Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan moral
bukan sahaja merupakan salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku moral
tetapi penaakulan moral juga adalah faktor paling penting yang pernah dikaji
dan terbukti dapat menggerakkan tingkah laku moral. Kohlberg membicarakan
bahawa bagaimana individu boleh bertingkah laku moral jika dia tidak faham dan
tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah laku sebegini.
Antara lain, Kohlberg (1975) telah menyokong
pendiriannya dengan dapatan berikut. Beliau dan Krebs mendapati bahawa hanya
15% subjek kajian yang beroperasi di tingkat poskonvensional meniru dalam
sesuatu peperiksaan berbanding dengan 55% subjek kajian yang beroperasi di
tingkat konvensional dan 70% subjek yang beroperasi di tingkat prakonvensional.
Ini bermaksud, semakin tinggi tingkat penaakulan moral individu, semakin tinggi
kemungkinan dia bertingkah laku moral.
Dalam perkembangan yang sama, Blasi membuat rumusan
tentang 72 kajian yang mengkaji hubungan antara penaakulan moral, masalah
delinkuen dan ciri-ciri yang berkaitan dengan delinkuen (Kitwood 1990). Beliau
mendapati bahawa tingkah laku moral adalah berkait dengan penaakulan moral.
Misalnya subjek delinkuen menaakul di tingkat yang lebih rendah.
Objektif-objektif
pengajaran Pendidikan Moral
Berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral untuk
sekolah menengah (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988), objektif-objektif
pengajaran Pendidikan Moral sekolah menengah adalah supaya pelajar dapat :
i. memperkukuh dan mempertingkat amalan tabiat dan
tingkah laku yang selaras dengan sikap dan nilai moral yang diperolehi pada
peringkat sekolah rendah ;
ii. menyedari, memahami dan menghayati norma dan nilai murni masyarakat Malaysia ;
iii. membentuk pemikiran yang rasional berasaskan prinsip-prinsip moral ;
iv. memberi sebab-sebab yang munasabah berdasarkan pertimbangan moral dalam membuat sesuatu keputusan ; dan
v. menggunakan pertimbangan yang berlandaskan prinsip-prinsip moral sebagai panduan dalam amalan kehidupan seharian.
Penilaian terhadap objektif-objektif pengajaran
Pendidikan Moral tersebut menunjukkan bahawa pemupukan penaakulan moral dan
tingkah laku moral adalah ditekankan dan emosi moral telah diabaikan. Mengikut
sukatan pelajaran, pelajar-pelajar perlu belajar membuat pertimbangan moral
(moral judgement) dan mereka memerlukan satu kod nilai untuk dijadikan piawai
dan asas dalam penaakulan moral mereka.
Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana
pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni
di kalangan kanak-kanak dan remaja (Loganathan 1995). Stoll dan Beller
melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan
untuk mengajar nilai-nilai murni dan lebih penting lagi adalah mengajar pelajar
cara menaakul tentang sesuatu nilai (Loganathan 1995). Wilson (1973) memang
telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh
diajar dan dipelajari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan